Monday, February 23, 2009

Pemergiannya...

Tanggal 28 Februari 2009 nanti akan genablah sebulan pemergian salah seorang anggota keluarga kami yang amat kami sayangi.. Kehadirannya dalam keluarga kami sejak 9 tahun lalu membawa kebahagian kedalam kehidupan keluargaku.

Dia adalah seorang yang tabah dan sabar dalam mengharungi dugaan itu. Dia adalah kakak ipar kesayanganku.. Dia pergi meninggalkan kami saudara iparnya, suami & dua anak lelaki yang masih belum mengerti apa itu kematian.. Dia pergi meninggalkan kami setelah bertarung nyawa selama 5 bulan disebabkan kanser payudara yang dihidapinya lewat 2 tahun yang lalu.

Aku sebak bila mengetahui pemergiannya pada 28 Januari 2009 itu.. walaupun hati kecilku berkata ia adalah yang terbaik untuk dirinya tetapi aku tidak dapat membohongi diriku yang aku sedih dengan berita itu.. sedih mengenangkan abangku yang akan mengharungi hidupnya sendirian tanpa isteri disisi dan sedih mengenangkan anak-anak nya, Zikril Haziq & Zariff Hadiff yang akan membesar tanpa ibu disisi mereka..

Aku agak terkilan kerana tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir kerana aku agak lewat sampai dirumah keluarganya diAlor Setar kerana perjalananku mengambil masa 7 jam untuk sampai kesana. Sekali lagi aku tidak dapat menahan sebakku pabila terlihat sikecil Hadiff duduk bersama-sama neneknya di tanah perkuburan.. mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh imam. Apalah yang diketahui oleh anak kecil itu.. Aku dekati dia, ku pimpin tangannya untuk menyiram air mawar keatas kubur ibunya... Aku cuba sembunyikan kelodak perasaan ini dari terlihat oleh sikecil itu...

Dalam perjalanan pulang dari tanah perkuburan, kakak ku bertanya pada sikecil.. Mana Ummi?
Sikecil menjawab.. Ummi dalam kubur, dah mati... Airmataku tumpah lagi dengan mendengar jawapan itu... Kakakku terus bertanya.. Kenapa Ummi ada dalam kubur? Sikecil menjawab... Ummi sakit, sebab tu dia ada dalam kubur... Aku segera meminta kakakku berhenti bertanya sikecil kerana aku tidak berdaya menahan kesedihan ini melihat kenaifan anak kecil itu..

Masih terngiang-ngiang ditelinga suatu ketika dulu sikecil pernah berkata... Abg Ngah nak pi umah Ngah di KLCC... ketika itu mereka sekeluarga kerap melawat kami di Kuala Lumpur dan sikecil cukup suka merenang dikolam dibelakang KLCC. Mungkin jika sikecil berkunjung lagi kesini, keadaan itu mungkin agak berlainan dan serba kekurangan...

Hanya Allah yang tahu bagaimana hari-hari sikecil, abang long & abangku selepas pemergian kakak iparku.. Aku hanya dapat berdoa, mereka akan tabah mengharungi kehidupan ini dan semoga kehadiran dan kasih sayangku sekeluarga sedikit sebanyak dapat memenuhi keperluan kasih sayang seorang ibu buat Haziq & Hadiff.

Insyaallah, keluargaku akan mengadakan kenduri tahlil bersempena sebulan pememergiannya dirumahku pada 28 Feb 2009 ini.. Apa yang aku dapat lakukan hanyalah berdoa untuk arwah kakak ipar kesayanganku dan berdoa untuk kesejahteraan anak-anak saudaraku dan abangku.

Semoga rohnya dicucuri rahmat & ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.... Amin.

0 comments:

Template by:

Free Blog Templates